Thursday, January 29, 2009

Aku suka sangat puisi ni...


Balada Burhan Di Kota Raya..

Tuhan,
namaku Burhan,
munajat balada bahasaku ini mohon mereka dengarkan..

Warna-warni bahasa diraut,
dari bilah-bilah lidah kabilah Khalifah,
untuk membezakan insan dan haiwan,
bumbung bahasa inilah tempat kita bernaung,
dari bahang penindasan dan panas terik penjajahan,
saat hujan merdeka lebat mengairi tanah leluhur,
tetunas bangsa tumbuh menggalas amanah bahasa,
petualang penjajah lari dalam ribut amarah menggulung,
saat kesedaran bahasa bersemayam di hati kita,
kini wewenang kuasa tidak janjikan apa-apa,
untuk nyalakan obor keadilan dengan nafas bahasa..

Bangsa kita menggenggam segunung kuasa,
mampu merombak suasana yang lebih gemilang,
namun ada yang ghairah memilih celaka,
demi mengkhatam riwayat bangsanya esok lusa,
dengan hak berbahasa yang dinafikan,
untuk anak kecil bertatih bicara melaluinya.

Jiwa merdeka ungkaplah kata berani,
kerana mungkin yang tertinggal nanti,
adalah sisa-sisa dan puing-puing bahasa,
daripada runtuhan bangsa hari ini,
yang bertakhta di puncak kuasa,
mungkin bebas dari hukuman dosa,
mungkin lolos dari jaring hukuman kita,
mungkin juga sempat lari dari kumat-kamit
jampi mantera sumpah seranah menyala
yang membusung di hati kita,
kerana kita ini kononnya mudah lupa.

Anak yang lahir dari kekontangan hikmah,
ialah sekam berbusa membenih dari rahimmu,
hembus dan tiupkan azimat pengetahuan,
api sekam itu terus membara dan ternyala,
sendirinya nanti memegang panji janji dan obor bahasa.

Kepada yang terlontar di bumbung kuasa,
timbang sukat nafas bahasa yang kian nazak,
kerana segunung hati rakyat menyala merah,
di remang senja kiamat itu mereka berteriak!
"pekung bahasa bernanah itu berdarah kembali,
palingkan wajah ke lautan amarah jika berani,
jangan cuma mengukir kata memahat janji,
jantung hati kami dicicah lapah,
yang tinggal hanya luka di parut bahasa,
dirobek tangan rakus menggenggam akta."

Ledakkan api amarah di ruang terbuka,
biar terjulang keramat kata di angkasa kita,
biar diketahui rakyat dunia sejagat raya,
terbakarnya hutan rimba bahasa kita,
tak betah diredakan dalam kedinginan pujuk rayu,
oleh renjisan pidato kepuraan saban minggu.

Guntur pidato yang bergema dari langit keangkuhan,
telah hanguskan jutaan perasaan rumput kehijauan,
ayuh bicara dalam bahasa kayangan,
biar seribu tahun guntur menjerit,
biar seribu tahun kilat menikam bumi,
rumput tetap utuh dalam hijaunya,
biar berdentum guruh di langit,
bumi tak hancur sebelum kiamat.

Jika hari ini kita mati,
maka dari darah mengalir basah,
jadikanlah dakwat merah,
dari ranting rangka yang patah,
kutiplah ia sebagai pena,
lakar sejarah, ukir sirah perjuangan bangsa,
demi menyawakan roh bahasa kali kedua.

Mari labuhkan derita bahasa ini ke dermaga jiwa,
atau kita lompati bumbung madrasah bahasa,
untuk menjerut kecongkakan di langit tua.

Tuhan,
namaku Burhan,
aku mungkin gagal menyampaikan pesan,
kepada yang pongah, ahmak dan keras kemahuan,
yang memajak gadai bahasanya bagaikan judi pertaruhan.


dipetik dari : www.harakahdaily.net
nukilan oleh: ali bukhari amir

Monday, January 5, 2009

Sogokan @ Kebetulan

Acapkali kita lihat apabila tiba musim pilihanraya, terutama pilihanraya kecil (PRK), pasti satu kawasan itu menjadi tumpuan semua termasuk media yang berebut-rebut untuk mencari 'headlines' masing-masing.

Pada hari ini (6hb Jan 2009) merupakan hari penamaan calon bagi PRK Kuala Terengganu yang dijadualkan pada 17hb Jan 09. Mulai saat ini, parti-parti yang bertanding sudah bersiap sedia dengan 'senjata' masing-masing untuk berperang dan seterusnya menawan P.36 Kuala Terengganu yang merupakan ibu negeri lubuk emas hitam itu. Pihak Kerajaan mula mengatur strategi untuk mengekalkan kerusi palimen tersebut manakala Pakatan Rakyat mula mencongak untuk menambah bilangan kerusi di Parlimen.

Apa yang diperhatikan, bila ada PRK, kawasan tersebut mula dilimpahi dengan pelbagai projek yang tak disangka-sangka. Bermula dengan pembayaran royalti minyak dari kerajaan persekutuan, jalan-jalan mula diturap sehingga peruntukan yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran untuk memantapkan sistem pendidikan di Kuala Terengganu. Mungkin ianya kebetulan? Yang menjadi persoalan, mengapa kebanyakan projek, bantuan dan sebagainya hanya tertumpu di Kuala Terengganu sahaja? Tidakkah rakyat terfikir ianya hanya untuk memancing pengundi di sana?

Masih terngiang-ngiang lagi di telinga saya tentang jenaka spontan oleh sahabat saya. "Man, kalo ko nak kawasan ko maju, ko tunggu la YB tempat ko meninggal. InsyaAllah, time tu jalan ke tempat ko gerenti dapat tar baru". Jenaka tersebut, bila difikirkan adakalanya betul. Cuba kita lihat apa yang terjadi di Kuala Terengganu. Mungkin senario ini akan kembali wujud apabila ada PRK di kawasan lain lagi selepas ini? Sama-sama kita lihat. Sogokan atau Kebetulan? Bak kata Nabil Raja Lawak 2, "Lu Pikir la Sendiri"